Segulung ijazah kedoktoran berada
dalam genggamannya. Dia kini secara rasminya seorang doktor perubatan lelaki yang bertauliah.
Senyumnya hampir saja mencecah ke telinga. Rasa bangga tak terhingga saat
tangan menyambut kemas sijil dari tangan si pemberi. Masa depan hidupnya bakal
cerah. Ya, dia percaya akan itu.
.
Sedikit keterujaan terlihat di
air mukanya. Garis bibirnya tertarik sedikit ke atas penanda senyum malap.
Namun hatinya terlonjak kegembiraan. Kegembiraan yang tak terkata. Hanya
ekspresi muka yang dikawal ketat agar tak ternampak. Dua garis merah jambu
terpapar. Dia mengandung. Walau masih awal, tapi dia tahu dia sedang
mengandungkan anak dari insan yang dicintainya. Soal haram halal di tolak tepi.
Cinta itu yang pertama baginya tika ini. Ini berita gembira baginya. Dia
inginkannya. Perkongsian yang membuah hasil. Dari dua cipta satu. Satu yang
baru. Satu yang menjadi bukti ikatan cinta mereka. Di usap lembut abdomen bawah
torso. Sambil khayalan menjengah minda.
“Ma, Akiff sayang mama!”
Tubuh kecil itu dirangkul kemas
di pelukannya. Kepalanya diusap lembut. Dahi anak kecil itu dikucup.
“Mama pun sayang sangat sangat
kat Akiff tau.” Katanya sambil tersenyum.
Khayalan yang menjengah terhenti
tiba tiba. Penantian bas dari tadi berakhir. Langkah kakinya kemas menaiki atas
bas. Perjalanan pulang yang biasanya sunyi hari ini terasa indah berbunga bunga
dihiasi harapan indah. Senyum malap masih disembunyi.
.
Selangkah demi selangkah dia
pijak berhati hati. Rapi. Itu harus dulu. Di capai anak kunci dari dasar beg
tangan lalu dibuka kunci pintu rumahnya. Daun pintu ditolak perlahan. Cermat. Lampu
dipasang. Dia melihat keadaan rumahnya bagai tongkang pecah. Rasa khuatir mula
menyirap. Bingkai gambar yang pecah
berserakan atas lantai dijauhi, risau membelah kulit kaki. Kain langsir
bertebaran koyak dan sofa yang tadinya kemas tersusun kini terbalik bagai ada
yang menyelongkar mencari harta disebaliknya.
Jejaknya terhenti di dapur.
Alangkah terkesimanya dia memandang sekujur tubuh yang terlihat seperti bangkai
yang diratah haiwan terbujur dihadapannya. Rasa mual menguasai dengan imej yang
terpapar depan mata dilengkapi aroma bau darah hanyir yang tepercik
disekitar dinding dapur. Seolah olah dapurnya baru di cat dengan warna merah
dengan cara paling artistik dan kreatif. Tubuh itu adalah lelaki. Berdasarkan
baju kemeja dan seluar yang dipakainya. Cuma bajunya rabak di tengah
menampakkan isi perut yang ditarik keluar. Ususnya melingkari disekitar tubuh
seperti akar pohon yang mencari sumber air.
Wanita itu terjelepok di atas
lantai. Sebelah tangannya menekup separuh mukanya dan sebelah lagi longlai
tidak bermaya. Wajah lelaki itu dia kenali. Wajah bapa kandung anak yang sedang
membesar dalam rahimnya.
.
“Hayati, saya nak awak gugurkan
dia.” Mudah kata kata itu keluar dari lidahnya. Ekspresinya tenang dan serius.
“Tak, takkan.” Hayati tegas
membangkang. Itulah tanda cinta mereka berdua. Tanda penyatuan cinta mereka.
Cinta suci dari hati Hayati. Tak mungkin dia tegar membunuh impiannya itu.
“Kalau bukan awak, saya sendiri
akan buang dia. Dia pun separuh saya, bukan awak saja. Ini muktamad, Hayati.”
Kemas langkah lelaki itu ke arah
pintu. Daun pintu tak dihempas, ditutup rapi dan tenang, seperti bicara
sebelumnya sedang berbincang ingin membeli barangan pasar di kedai. Hayati
hanya mampu terkesima. Dia memegang rapi bahagian rahimnya. Sambil berbisik
perlahan,
“Sayang, takkan.”
.
Anak kecil yang baru mengenal
dunia sedang berlari mengejar buih sabun yang berterbangan ditiup pawana. Batu
yang duduk diam tidak mengganggu mana mana hidupan disepak menyadung sepasang
kaki kecil.
“Ma, tolong Akiff mama! Tolong
Akiff!” anak kecil yang tersungkur atas jalan berbatu itu mula menangis.
Lututnya berdarah bila mengenal geseran tar dan kulit. Wanita itu segera
mendapatkan anaknya. Diangkatnya berdiri semula untuk melihat luka dikaki anak
itu. Tiba tiba rasa marah pada jalan tar kerana mencederakan kaki comel milik
anaknya. Ditiup perlahan luka tersebut dengan penuh kasih sayang.
“Akiff kena kuat tahu? Akiff kan
lelaki. Lelaki mesti gagah, jangan menangis selalu tau. Nanti tak macho la
sayang.” Pujuk si ibu menenangkan anaknya sambil membersihkan luka anaknya
tadi.
Dia sebenarnya tak sampai hati
melihat air mata yang bercucuran melimpahi wajah comel anak itu. Lantas menyapu
lembut kering air matanya.
.
Lelaki itu masuk perlahan-lahan
ke dalam rumah. Langkahnya teliti seperti ninja tidak mengeluarkan sebarang
bunyi dari setiap pergerakan yang dilakukan. Picagari yang disimpan dalam poket
seluar sebelah kirinya dicapai dan disuntik ke lengan wanita yang sedang tidur
itu. Pantas. Dalam sekelip mata ubat diserap kedalam tubuh. Wanita yang
disuntik itu bergerak sedikit menggaru-garu tempat suntikan tadi. Disangka
mungkin nyamuk yang mengganggu tidurnya.
Ubat yang disuntik membuatkan
kesan bius dan tidur yang lena sekali buat perempuan itu. Apa pun yang
dilakukan kepadanya tidak disedari. Lelaki itu mengambil keluar sejenis alat
yang tajam lantas membelah rahim wanita tersebut. Segala isinya dikeluarkan.
Bersih dari semua isi yang asalnya menempel di sekitar dinding rahim. Wanita
tadi mungkin sudah pengsan atau tidak sedar langsung dirinya dilakukan
sebegitu. Tiada sebarang reaksi pun dari tubuhnya sepanjang proses itu berlaku.
Segala kepakaran dan ilmu yang ada diguna pakai. Praktikal yang paling berjaya
pernah dilakukannya setakat ini. Praktikal di kehidupan sebenar.
Kemas, rapi dan teliti. Kerjanya
selesai
.
Rasa sukar sekali untuk dia
bangun dari tidur pagi itu. Dia tidak mampu untuk bangun. Hanya mampu membuka
mata sambil menahan rasa penat yang amat sangat. Dengan sekudrat tenaga, dia
mencapai telefon bimbitnya di atas meja kopi bersebelahan dengan katilnya itu.
Tarikhnya salah set barangkali. Tercepat seminggu. Tapi bila diperiksa sekali
lagi, tetapan tarikh dan masa di telefon bimbitnya itu memang tiada salahnya.
Dia terpinga. Seminggu dia tidur tanpa bangun? Tak mungkin.
Perbuatannya yang secara tiba tiba
bingkas bangun mencetus rasa pedih dibahagian abdomen. Pergerakannya terhenti.
Seribu satu rasa menjengah pantas akal dan fikiran. Minda memainkan peranan di
tahap optimum dengan memproses segala data yang tersimpan. Bajunya diselak. Air
mata tumpah tak berhenti. Segaris parut panjang tertoreh di perutnya. Suara
jeritan tak terkeluar. Lutut terasa lemah untuk berdiri. Kecewa dan dendam
menguasai.
.
Air matanya kering, tak tertumpah
walau setitis. Sebelah lagi tangan yang menggenggam parang menolak diri bangun
semula. Dia tersenyum puas. Senyum malap yang dilimpahi rasa puas. Tiada pun
secebis sesal terpalit dihatinya.
Karyanya dibiar tak terusik untuk
ditatap buat masa hadapan. Bagi rasa puas mengamati seni itu saat kala bosan
nanti.
.
Senyuman mengukir wajahnya. Tiada siapa ambil tahu lagi tentang kisah lama. Wajah suci dan
senyuman manis itu menyembunyikan segala cerita. Wajah itu menyembunyikan
seribu rasa. Wajah topeng yang paling hebat milik manusia.
No comments:
Post a Comment